LUNDU: Kerajaan Sarawak menyalurkan RM2 juta kepada Jawatankuasa Pertanian Tanjong Datu untuk membantu rakyat di kawasan tersebut.

Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu berkata, setelah dana tersebut diluluskan, beliau berharap ia dapat membantu rakyat menambah pengetahuan dan pendapatan mereka terutama melalui bidang pertanian.

“Oleh itu, saya meminta mereka yang benar-benar berminat mengusahakan pertanian sendiri dan membantu meningkatkan taraf hidup melalui pertanian tampil dalam kursus yang kita adakan ini.

“Ia bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan kerana bidang ini memerlukan kos yang besar untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Community Extension Outreach Programme (CEOP) anjuran Jabatan Pertanian Daerah Lundu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu, kelmarin.

Tambahnya, para peserta kursus harus mengambil peluang ini kerana bidang pertanian telah melalui proses transformasi.

“Banyak cara baharu digunakan untuk pengeluaran hasil maksimum seperti pertanian secara fertigasi dan hidroponik dengan cara yang lebih mudah. “Ia juga dapat dilakukan secara sambilan selain dapat meningkatkan pendapatan,” jelasnya.

Beliau turut berkesempatan melawat projek pertanian fertigasi salah seorang peserta kursus di Kampung Sileng Dayak Lundu.

Hadir sama Pegawai Tugas-Tugas Khas Ketua Menteri Helmi Hazemi; Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani; Pegawai Pertanian Bahagian Kuching Chong Mui Sia, Pegawai Menguasa Pertanian Daerah Lundu Musat Senada serta Ketua-Ketua Kaum Daerah Lundu.