KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendirikan sekatan jalan raya di Simunjan dan Sri Aman mulai jam 12.01 pagi esok, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar.

Menurutnya, orang ramai tidak dibenarkan bergerak dari Zon 1 ke Zon 2 dan dari Zon 2 ke Zon 1 mulai 1 Ogos 2020 sehingga 14 Ogos 2020.

“Contohnya, pergerakan antara daerah Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Simunjan, Serian, Bau dan Lundu dibenarkan tanpa memerlukan surat kebenaran polis.

“Pergerakan dari Simunjan ke Sri Aman melalui Feri Triso tidak dibenarkan. Begitu juga pergerakan dari Simunjan ke Sri Aman melalui Jalan Serian-Sri Aman tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tegas Dev, pengecualian yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) adalah untuk situasi menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat serta keperluan pemeriksaan kesihatan.

“Sehubungan itu, kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas rasmi perlu menunjukkan surat pengesahan daripada ketua jabatan mereka manakala pekerja perkhidmatan dikehendaki menunjukkan surat pengesahan daripada syarikat atau majikan.

“Pergerakan atas tujuan kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat atau menghadiri pemeriksaan perubatan, surat kebenaran polis perlu ditunjukkan kepada petugas di sekatan jalanraya. Surat kebenaran ini boleh dipohon daripada balai polis yang berdekatan,” jelasnya.

Katanya lagi, para penumpang penerbangan domestik dari dan ke Kuching dinasihat memohon surat kebenaran polis sebelum menempah tiket kapal terbang.

“Sekiranya tiket telah dibeli, boleh pergi ke balai polis terdekat untuk mendapat surat kebenaran. Penumpang tidak akan dibenarkan menaiki pesawat jika tidak mempunyai surat kebenaran polis.

“Begitu juga dengan penumpang-penumpang bot ekspres dan bas ekspres atau bas wilayah apabila perlu mempunyai surat kebenaran polis,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai untuk menangguh sebarang pergerakan antara Zon 1 dan Zon 2 sehingga selepas 14 Ogos.