GEDONG: Pergerakan Wanita PBB Cawangan N.26 Gedong kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan N.26 Gedong, Hasanah Majais berkata, semua ahli jawatankuasa PBB Gedong telah dilengkapkan dengan semangat dan ilmu bagi membolehkan mereka menjalankan tugas bertemu rakyat.

Katanya, sehubungan itu semua pemimpin dan ahli jawatankuasa Wanita PBB Gedong kerap kali mengadakan pertemuan dan bermesyuarat bagi menghadapi calon daripada parti lawan.

Katanya, usaha ini perlu dilakukan bagi menjamin calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dun Gedong terus mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya negeri kelak.

Malah katanya, dengan corak perubahan dan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan Gedong adalah diyakini GPS akan terus kekal mewakili rakyat di kawasan ini.

“Ya kami (Pergerakan Wanita PBB Gedong) kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri ini. “Meskipun pergerakan kami agak perlahan kerana perlu mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), namun kami akan terus bertemu rakyat untuk menerangkan perlunya GPS dikekalkan sambil memperkenalkan logo GPS kepada masyarakat umum.

“Alhamdulillah, semangat dan kerjasama semua pemimpin Pergerakan Wanita PBB sama ada di peringkat cawangan dan ranting di kawasan Gedong amat memuaskan. Saya amat yakin semangat kerjasama ini akan terus kekal sehingga kempen pilihan raya negeri kelak,” katanya.

Isnin lalu, Hasanah mengetuai ahli jawatankuasa tertinggi Wanita PBB Cawangan Gedong mengadakan pertemuan dengan Ketua PBB Cawangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.26 Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais di Kuching.

Hasanah memberitahu, pertemuan itu adalah perkara biasa untuk melapor dan menerangkan secara terperinci kepada Naroden tentang program yang akan dianjurkan oleh Wanita PBB Gedong.