KUCHING: Tinjauan di Kota Sentosa sepi dan lengang berikutan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga.

Dahulunya, Kota Sentosa sentiasa sibuk dan sesak dengan orang dari pelbagai daerah, datang untuk membeli barangan keperluan namun keadaan berubah 180 darjah.

Bagi pengusaha kedai gunting rambut, Noren Abdul Rahman, 29 tahun, pelanggan yang mengunjungi kedainya kian berkurangan. “Semasa pembukaan pada 10 Jun lalu, 30 hingga 40 pelanggan datang untuk menggunting rambut dalam sehari.

“Pada hari biasa pula, 10 hingga 20 pelanggan datang ke kedai untuk menggunting rambut. “Sejak minggu lalu sehingga hari ini, hanya empat hingga lima pelanggan yang datang,” jelasnya.

Noren turut berkata, pihaknya menyediakan apron plastik pakai buang untuk setiap potongan rambut dan dikenakan cas tambahan RM5. Jelasnya lagi, pelanggan amat memahami akan cas tambahan yang dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, Lim Vui Kok, 51 tahun berkata, memandangkan kes positif Covid-19 kian meningkat, orang ramai disaran untuk memakai pelitup muka di tempat awam. “Sekiranya keluar rumah, harus memakai pelitup muka untuk keselamatan diri.

Jika di kedai kopi, pastikan anda mengamalkan penjarakan sosial. “Kita harus menjaga diri kita sendiri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Tinjauan di kedai makan di sini mendapati pemilik kedai kerap membersihkan premis mereka.

Pengusaha kedai makan, Gerald Hiu berkata, kedainya akan dibersihkan dengan cecair pencuci sebanyak dua kali sehari.

Jelasnya, kerja-kerja pembersihan dibuat pada sebelah petang dan sebelah malam sebelum menutup operasi mereka.

Manakala, susunan meja di kedai makan disusun mengikut penjarakan sosial satu meter seperti yang telah ditetapkan dalam SOP. Sementara tinjauan di Pasar Kota Sentosa pula mendapati, keadaan di pasar tersebut lengang dan sepi.

Zunika Anak Joheen, 36 tahun, penjual sayur di Pasar Kota Sentosa berkata, tidak ramai pelanggan yang datang membeli sayur-sayuran, daging mahupun ikan di pasar.

“Anggaran 20 orang yang datang membeli sayur-sayuran ini, berbanding sebelumnya dalam 40 orang. Jumlah tersebut mula berkurangan dalam minggu ini. “Semalam dan hari ini, dalam 10 orang sahaja pembeli yang membeli sayur di gerai ini,” ujarnya.

Manakala penjual pisang di Pasar Kota Sentosa, Dorothy Albert, 44 tahun berkata, semasa PKP, jualannya berkurangan kerana orang ramai tidak berani keluar rumah.

Jelasnya, ramai peniaga di Pasar Kota Sentosa yang terkesan dari segi jualan ekoran Covid-19. “Jual pisang sehingga petang pun tiada orang datang membeli. Kami terpaksa menutup perniagaan awal. Lebih kurang dua bakul pisang terpaksa dibuang dalam sehari kerana pisang telah buruk,” luah Dorothy.

Tambahnya, perniagaan pada minggu ini terkesan kerana tiada pembeli yang datang membeli pisang.

Dalam tinjauan yang sama, Unit Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Padawan turut melaksanakan sanitasi awam dan nyahkuman di pasar tersebut. Sanitasi awam dan nyahkuman dijalankan tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Sabtu.