MIRI: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Miri-Bintulu di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Mangsa, Mohd Amin Amirul Itang Abdullah, 39, yang berasal daripada Kampung Madinah, Niah itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan terbabit berlaku di jalan lama Miri-Bintulu, berhampiran RumahPanjang Robert Suai yang menghala ke Pekan Niah.

“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Bintulu menghala ke pekan Niah telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar depan kenderaan lori yang menghala dari pekan Niah.

“Pemandu lori tidak cedera manakala mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans daripada Klinik Pekan Niah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.