KUCHING: Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk sebanyak 10.126 kilogram syabu dianggarkan bernilai lebih RM405,000 menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) gagal apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata suspek ditahan sekitar jam 12.45 tengah hari semalam, hasil imbasan ke atas bagasinya yang baharu tiba dari Johor Bahru menggunakan penerbangan domestik.

“Hasil imbasan menunjukkan imej yang mencurigakan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasi dilakukan oleh pegawai kastam membawa kepada penemuan 10 bungkusan yang mengandungi dadah jenis Methamphetamine.

“Bungkusan itu juga didapati dibaluti dengan “aluminium foil” dipercayai bagi
mengelirukan pegawai bertugas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata suspek yang merupakan warganegara tempatan berusia lewat 30-an telah ditahan dan kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Katanya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Sharifah, nilai rampasan dadah oleh JKDM Sarawak dari Januari 2020 sehingga kini adalah sebanyak RM545,013.