KUCHING: Buaya sepanjang 4.7 meter dengan lebar 1.7 meter yang dipercayai membaham remaja lelaki di Batang Ulu Belawai di Sarikei pada 26 Julai lalu berjaya ditangkap hari ini.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis Irwan Abdul, pihaknya dimaklumkan oleh Jabatan Perhilitan Sarikei pada jam 9.15 pagi mengenai penemuan objek bukti fizikal.

“Ia terdiri daripada beberapa anggota badan dan cebisan tulang serta baju mangsa apabila reptilia itu terkena umpan yang dipasang sekitar lokasi mangsa dibaham.

“Buaya berkenaan dibawa naik ke daratan berdekatan Rh Dadat bagi proses mendapatkan bukti yang dijalankan oleh Jabatan Perhilitan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, Irwan memberi taklimat kepada penduduk rumah panjang dan memaklumkan tindakan operasi yang dijalankan bersama agensi terlibat.

“Operasi mencari dilakukan dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dibaham buaya di Ulu Belawai.

Mangsa Ricky Ganya, 14, dikatakan keluar mencari siput di sungai berhampiran dan ditemani oleh ibu saudara dan dua lagi rakannya.

Saksi iaitu ibu saudara mangsa berkata, semasa kejadian mangsa sedang mencari siput sebelum ternampak seekor buaya telah menarik mangsa ke dalam air.