MIRI: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengurangkan penularan wabak COVID-19, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan pelbagai bantuan kepada setiap golongan masyarakat di negeri ini.

Ketua Cawangan SUPP Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, bantuan meliputi pelbagai bentuk sumbangan.

“Bantuan ini seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada golongan bawah B40, penjaja, bujang dan sebagainya.

“Begitu juga dengan agihan pelitup muka dan bantuan makanan.

“Turut diperkenalkan Kenyalang Gold Card (KGC) yang dikhususkan kepada warga emas di negeri ini,” katanya dalam Ziarah UKAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada Jumaat.

Seramai 30 orang penerima yang terdiri daripada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) menerima bantuan makanan yang disampaikan Adam Yii.

Hadir sama Kapitan Chan Soon Tiang, Kapitan Sim Yam Leong, Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM) Chin Fook Kim dan Vincent Huang Huat Choon.