BALINGIAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukanlah gabungan yang lemah atau menidakkan kesejahteraan mana-mana kaum, tetapi, gabungan yang semakin utuh, sentiasa menghormati dan bekerjasama sesama parti komponen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, sebagai wakil rakyat kawasan, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk membuat perancangan dan memantau agensi pelaksana untuk memulakan projek-projek yang telah diluluskan.

“Untuk beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kecil atau besar yang disuarakan namun belum terlaksana, diharap bersabar dan sama-sama berusaha dan berdoa agar dipermudahkan kerana setiap pelaksanaan projek ada kriteria dan keutamaan masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Community Engagement @Balingian di Dewan Masyarakat, Balingian, semalam.

Katanya, peranan sebagai ketua masyarakat juga sebagai jentera sistem kerajaan dalam mencapai objektif dan agenda pembangunan dalam sesebuah masyarakat.

Beliau turut menasihat rakyat negeri ini sentiasa mengamalkan politik yang sihat demi menjaga keharmonian dan perpaduan.

“Senario politik di Sarawak, jangan gunakan sentimen perkauman, agama, adat dan sebagainya dijadikan agenda oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam meraih sokongan.

“Ia akan menghancurkan keharmonian di Sarawak khususnya dengan menggunakan medium Facebook, Youtube dan sebagainya,” ujarnya lagi.