JEMORENG: Seramai 5000 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan DUN Jemoreng menerima sumbangan daging sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut seluruh umat Islam hari ini.

Menurut ADUN Jemoreng, Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya setiap KIR di kawasan tersebut tanpa mengira kaum, agama dan bangsa menerima sumbangan berkenaan yang diagihkan oleh JKKK Kampung dari 29 hingga 30 Julai lepas.

“Agihan ini adalah untuk semua Ketua Isi Rumah di kawasan N.44 Jemoreng di mana di kawasan ini bukan hanya ada kaum Melayu, ada kaum Melanau, Iban, Bidayuh dan Cina.

“Ini adalah untuk sama-sama berkongsi kegembiraan di antara penduduk di sini,” katanya semasa majlis pengagihan daging diadakan semalam.

Selepas majlis pengagihan daging, Dr Juanda seterusnya menyaksikan penyerahan projek RTP Padang Futsal Kuala Matu oleh JKR kepada JKKK Kuala Matu Hilir.

“Padang futsal ini adalah di antara kemudahan yang kita sediakan di mana di Pantai Kuala Matu ini, kita sedang merangka suatu master plan yang besar untuk memastikan kawasan ini dapat dimanfaatkan penduduk tempatan di samping boleh menarik kehadiran pelancong-pelancong untuk menikmati keindahan pantai Kuala Matu ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, projek Benteng Hakisan Pantai Kuala Matu juga telah diluluskan termasuk gerai penjaja pantai Kuala Matu yang sedang dilaksanakan dan balai pencerap yang akan menjadi tumpuan di kawasan zon tengah untuk melihat anak bulan.