KABONG: Sempena Hari Raya Aidiladha, seramai 548 jemaah lelaki dan 150 jemaah wanita sahaja dibenarkan untuk menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Aasabirin Kabong pagi esok, (31 Julai).

Pengerusi Pengurusan Masjid Assabirin, Ahmad Johar Haji Bidin memaklumkan perkara berkenaan ketika ditemui hari ini.

Menurut Johar, sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) para jemaah juga dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 dengan semua jemaah diwajibkan menggunakan pelitup separuh muka dan juga membawa sejadah sendiri.

“Orang ramai diingatkan supaya patuh kepada SOP PKPP ketika hadir ke masjid. Jika ada yang tidak menggunakan pelitup muka pihak petugas tidak akan membenarkan mereka yang terlibat masuk ke masjid.

“Pihak masjid akan menyediakan empat stesen pengimbas suhu untuk jemaah yang hadir. Di situ orang ramai yang hadir akan diimbas suhu dan dikehendaki menulis nama dan nombor telefon di dalam buku yang disediakan.

“Kenderaan seperti motosikal tidak akan dibenarkan masuki kawasan pekarangan masjid.Tempat itu akan dijadikan ruang solat. Jadi sila letak motosikal di tepi kawasan jalan raya utama,” ujarnya.