Politik Sabah memang sentiasa menarik perhatian sejak 1970-an lagi.

Pertukaran kerajaan bukanlah sesuatu yang asing.

Ahli politik melompat parti bukan baharu. Malah, Sabah barangkali paling banyak mempunyai ahli politik yang melompat parti jika sejarah politiknya disingkap.

Semalam bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendedahkan mempunyai jumlah wakil rakyat yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

Musa tidak harus dipandang ringan kerana sebagai bekas Ketua Menteri beliau masih mempunyai pengaruh.

Dalam sidang media tergempar  di rumahnya semalam, Musa berkata, pihaknya akan membentuk gabungan baharu yang  menyokong Perikatan Nasional (PN).

Maksudnya, kerajaan negeri pimpinan Shafie akan tumbang.

Persoalannya, apa sebenarnya kisah di sebalik drama dan intrig politik Sabah?

Kuasa, kepentingan rakyat atau kepentingan wakil rakyat?

Musa dipetik berkata, kumpulan yang diketuainya akan bergerak ke Istana Negeri untuk mengemukakan Surat Akuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan ditandatangani dalam tempoh terdekat.

“Saya juga ingin memaklumkan yang Menteri Keselamatan dalam Negeri  Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, Setiausaha Politik kepada PM telah membuat Kunjungan Hormat kepada Tuan Yang Terutama pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri  YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru,” katanya seperti dipetik media semalam.

“Kita telah memperoleh majoriti mudah dan akan membentuk kerajaan baharu

Namun difahamkan sekitar jam 8.15 pagi ini, rombongan Shafie mengadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin pagi ini.

Tidak pula diketahui tujuan kunjungan itu setakat ini. 

Malah beliau dijangka mengadakan sidang media pada jam 11.00 pagi

Wartawan media telah berkumpul  di pekarangan Jalan Istana di Kota Kinabalu untuk mengikuti perkembangan drama itu secara dekat sementara polis mengawal ketat keadaan.

Malam tadi Shafie  mengesahkan beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah selepas masih mendapat majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketika ditemui pemberita di kediaman rasminya, Mohd Shafie berkata segala kemelut politik  semalam dan inti pati mesyuarat tertutup malam tadi akan diumumkan pagi ini.

“Saya masih ketua menteri (Sabah) dan masih memiliki majoriti (ADUN),” tegas beliau kepada media.

Mesyuarat tertutup di kediaman Mohd Shafie itu dihadiri Adun  dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Sementara itu terdapat  spekulasi dan desas-desus mengatakan gabungan parti  pimpinan  Musa Aman pula akan mengadap ke Istana Negeri di sini bagi mengadap sumpah.

Sementara itu, kita perlu terus menunggu drama seterusnya untuk mengetahui siapa akhirnya akan berkuasa di Sabah.