TINDAKAN Adun Padungan Wong King Wei yang mengumumkan keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) Ahad lalu menjadi berita besar dalam perkembangan politik Sarawak.

Malah, tindakan tidak diduga bekas Naib Pengerusi DAP Sarawak itu bukan sahaja memberi kejutan kepada DAP sendiri, malah kepada parti-parti lain.

Ini jelas apabila Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang diibaratkan sebagai ‘sifu’ kepada Wong juga terkejut dan kecewa dengan tindakannya itu.

Begitu juga dalam kalangan rakan seperjuangannya yang lain seperti Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr. Kelvin Yii, Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol dan ramai lagi.

Berdasarkan kenyataan para pemimpin DAP Sarawak, mereka seakan-akan langsung tidak tahu, malah menjangkakan tindakan Wong merosakkan imej parti yang diwakilinya selama ini.

Sudah pasti ini tidak dapat diterima oleh DAP, tetapi ia juga merupakan satu keputusan yang amat berat dibuat oleh Wong.

Lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) sudah begitu hampir, yang akhirnya memberi tekanan berat kepada DAP untuk mempertahankan kerusi itu.

Ini kerana Wong mempunyai potensi tinggi untuk mempertahankan kerusi yang sudah dua penggal disandangnya itu.

Namun apa yang berlaku, sudah jelas dinyatakan oleh Wong sendiri yang terserlah rasa tidak puas hatinya terhadap hala tuju dan perjuangan DAP. Malah jika diamati alasan yang diberikannya, terdapat pergeseran dan masalah antara beliau dengan kepimpinan parti atau mungkin dengan sebilangan ahli parti.

Antara lain keengganan pihak tertinggi dalam parti untuk memberikan ruang kepadanya menyuarakan pandangan atau mendengar isu yang dibangkitkannya.

Beliau juga berulang kali menyatakan kegagalan DAP selaku parti yang pernah berjaya menduduki kerusi kerajaan untuk memperjuangkan aspirasi perjuangan dan hala tuju DAP seperti yang dijanjikan.

Cuma persoalannya, maksud aspirasi dan perjuangan yang dimaksudkan oleh beliau itu masih terbuka kepada beberapa tafsiran yang tersurat mahupun yang tersirat.

Apakah keinginan beliau itu lebih terdorong kepada hasrat untuk mentadbir mengikut acuan DAP tanpa terlalu tunduk kepada pemerintahan yang masih kelihatan berteraskan semangat permuafakatan.

Atau kecenderungan untuk memastikan isu sentimen terhadap segenap aspek dalam perjuangan berteraskan kaum harus diutamakan sebagai asas perjuangan DAP, lebih-lebih lagi apabila DAP kelihatan tunduk kepada tekanan dan hilang pendirian dalam banyak hal.

Itu juga berkemungkinan boleh dijadikan sandaran kepada tafsiran rasa tidak puas hati beliau terhadap kepimpinan DAP, lebih-lebih lagi semasa dalam kerajaan.

Walaupun tidak secara langsung, daripada maklum balas beliau secara terbuka, penarikan dirinya dapat disimpulkan dalam satu bahasa yang mudah. Ia adalah atas rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap sikap kepimpinan dalam DAP serta kegagalan DAP untuk menjadi sebuah parti seperti yang beliau harapkan.

Dengan kata lain, tindakan yang dibuat Wong ini boleh dijadikan sebagai satu menifestasi dan gambaran jelas mengenai apa sebenarnya kedudukan DAP sekarang ini. Ini juga boleh dijadikan pengukur kepada kerapuhan DAP Sarawak amnya, yang sebelum ini begitu kuat disebabkan sokongan padu masyarakat Cina.

Namun sama ada langkah Wong ini akan melemahkan DAP di Dun Padungan amnya dan Sarawak khasnya, itu tidak dapat dipastikan. Ini kerana walaupun ada dalam kalangan masyarakat Cina yang kecewa disebabkan kegagalan parti itu membela komuniti semasa menjadi kerajaan, namun ia sudah pasti masih mempunyai ramai penyokong setia.

Persoalan ini hanya akan terjawab dalam PRN-12 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Apa pun, inilah peluang besar buat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menambat semula hati masyarakat Cina, dalam kapasitinya mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).