AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) yakin kemelut politik yang sedang berlaku di Sabah tidak memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap gabungan blok pembangkang itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ini kerana rakyat sudah ‘lali’ dengan ‘sepak terajang’ politik selain percaya rencah percaturan pemimpin atasan tidak semestinya mewakili aspirasi rakyat.

“Tidak, sebab perubahan begini, rakyat faham, mandat (yang) diberikan, macam-macam pengkhianatan dan sekarang kerajaan PN (Perikatan Nasional) tetapi kita masih bangkit soal mandat rakyat, masih mandat rakyat.

“Ini soal sepak terajang politik di kalangan ahli parlimen dan pimpinan itu tidak semestinya mewakili aspirasi rakyat. Dan kadang-kadang orang salah telahan bahawa percaturan politik golongan kelompok atasan itu mewakili aspirasi rakyat. Itu tidak semestinya,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program jelajah Presiden PKR ke Melaka di Ayer Keroh, malam Rabu seperti dilapor Astro Awani.

Terdahulu, beliau mengulas dakwaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mendedahkan mempunyai jumlah wakil rakyat yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan baharu di negeri itu.

Dalam sidang media tergempar yang dibuat di rumahnya pada petang Rabu, Musa berkata, pihaknya akan membentuk gabungan baharu yang menyokong PN.