KUALA LUMPUR: Di televisyen, 3 petang hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman lanjutan moratorium pembayaran pinjaman dan bantuan bank bersasar.

Moratorium bayaran balik automatik pinjaman selama enam bulan berakhir September ini.

Sebelum ini pelbagai pihak meminta kerajaan menyambung tempoh moratorium memandangkan masih ramai terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata institusi perbankan kemungkinan besar rugi RM79 bilion dari segi kapasiti memberi pinjaman (kerugian ubahsuaian) sepanjang enam bulan moratorium April hingga September.

Sehingga 20 Julai lalu, nilai moratorium diberikan ialah RM59 bilion yang memberi manfaat kepada 7.7 juta rakyat Malaysia.