KUCHING: Pihak pengurusan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC Sarawak) telah mengumumkan bahawa Kompleks Kubah Ria masih dibuka kepada orang ramai dan akan beroperasi seperti biasa.

Pihak SEDC juga menjelaskan bahawa kompleks tersebut tiada kaitan dengan Kluster Pasar Satok. Baru baru ini pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengumumkan bahawa hanya Kluster Pasar Satok sahaja yang ada kes positif Covid19 dan bukan di Kompleks Kubah Ria.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mendengar khabar angin mengenai Kompleks Kubah Ria yang tidak terlibat langsung dengan Kluster Pasar Satok yang terletak di bangunan premis yang berlainan.

Kesemua peniaga di Kompleks Kubah Ria juga menjalankan perniagaan mereka seperti biasa dengan mengikuti standard prosedur operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JPBNS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).