KUCHING: Sarawak membangunkan industri petrokimia di Tanjong Kidurong Bintulu berkeluasan 1,000 ekar.

Kerja penyediaan tapak membangunkan kilang mentanol RM3.74 bilion giat dilaksanakan dengan syarikat antarabangsa mengesahkan melabur RM24 bilion (AS$6 bilion) di hub berkenaan.

Berucap sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Sarawak di Kompleks Dun pada Selasa, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, industri hiliran minyak dan gas ini dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 74,000 rakyat.

Dengan pelaksanaan program industri petrokimia ini dan program lain, pendapatan isi rumah di Sarawak akan meningkat.

Abang Johari berkata Sarawak kini antara penyumbang terbesar KDNK iaitu 10 peratus dan pada 2019, KDNK Sarawak dianggarkan RM136.05 bilion dengan pendapatan per kapita RM53,317.

Menurut Abang Johari hasil minyak dan gas Sarawak penyumbang besar kepada pendapatan negara walaupun secara purata pendapatan isi rumah masih rendah kerana industri minyak dan gas Sarawak tidak menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk anak Sarawak.

Beliau berharap Sarawak meneliti kepincangan ini dengan lebih teliti dan mengambil pendekatan memperbetul keadaan.