KUALA LUMPUR: Ibu bapa boleh didenda RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjara tidak lebih setahun jika membiarkan anak jagaan mereka berusia bawah 18 tahun terlibat dalam aktiviti basikal lajak yang mengundang bahaya.

“Kalau kita benarkan kenderaan ini (basikal lajak) yang tiada brek, bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyentuh pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Wee pada sidang media selepas taklimat RUU tersebut kepada ahli Dewan Rakyat di Parlimen berkata, hukuman diketatkan daripada denda RM300 dan ibu bapa bertanggungjawab bagi kesalahan dilakukan anak bawah 18 tahun.