KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan bersyukur apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin mengumumkan cadangan untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang terbukti banyak jasanya kepada negara.

Katanya, pengumuman untuk membuka semula JASA adalah satu keputusan yang amat tepat bagi ‘menebus dosa’ kerajaan terdahulu yang bertindak zalim dengan justifikasi yang sangat lemah.

“Kita sebenarnya tahu bahawa keputusan kerajaan menamatkan kontrak mereka bukanlah kerana faktor hutang negara sebaliknya memenuhi tuntutan ahli politik DAP terutama Lim Guan Eng yang dinasihati oleh Tony Pua mahu mengurangkan kakitangan kerajaan seperti yang pernah mereka uar-uarkan sebelum PRU14.

“Kita juga ambil maklum bahawa hari ini situasi sangat berbeza. Ancaman ekonomi pasca COVID19 perlukan pendekatan penuh hati-hati dan sentiasa menjadi keutamaan negara.

“Saya sentiasa percaya pada pepatah ‘tertutup satu pintu akan membuka pintu-pintu yang lain’. Dalam keadaan kadar pengangguran dan pemberhentian kerja terutama dalam sektor swasta semakin naik, memulangkan pekerjaan kepada yang hak akan melambatkan peratusan kenaikkan ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Tegas Shahril, rasanya sebahagian besar rakyat Malaysia masih ingat episod hitam pembubaran JASA, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Unit Pengurusan Prestasi & Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) dan beberapa agensi atau sektor lain sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Kesannya, ribuan pekerja dalam sektor-sektor di atas terutama kakitangan kontrak diberhentikan. Ini membuatkan pintu rezeki utama mereka tertutup seterusnya terkapai-kapai ditinggalkan mencari jalan kelangsungan hidup bersama keluarga.

“Kezaliman kerajaan terdahulu cukup jelas apabila meletakkan beban hutang negara yang kononnya mencecah nilai triliun ringgit sebagai justifikasi penamatan kerja seperti dinyatakan awalan.

“Akhirnya penggunaan alasan ‘hutang menggunung negara’ terbongkar apabila PM “Interim” sendiri telah meluluskan bajet khas sebanyak RM20 bilion sewaktu negara menghadapi krisis pandemik Covid-19,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, pengakuan beliau bahawa negara punyai wang lebih RM2 triliun untuk dibelanjakan dalam situasi kritikal sangat-sangat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia yang sebelum ini dimomok-momokkan dengan hutang yang tak kunjung surut.

“Kesimpulannya, kenyataan Bendahari PKR Lee Chean Chung yang berkata tindakan menghidupkan semula JASA sebagai suatu yang merugikan wang kerajaan adalah ditolak sekeras-kerasnya,” katanya lagi.