KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg optimis pendapatan isi rumah di negeri ini akan meningkat menerusi program-program ekonomi yang telah direncakan kerajaan Sarawak.

Beliau berkata antara tumpuan ekonomi Sarawak ialah membangunkan industri petrokimia dengan hubnya di Tanjong Kidurong Bintulu yang berkeluasan 1,000 ekar.

Menurutnya kerja-kerja penyediaan tapak untuk membangunkan sebuah kilang menthanol dengan kos RM3.74 bilion sedang giat dilaksanakan, di mana sebuah syarikat antarabangsa juga telah mengesahkan ia akan melabur RM24 bilion (USD 6 bilion) di hub berkenaan.

“Industri hiliran minyak dan gas ini dijangka akan memberi peluang pekerjaan kepada 74,000 orang secara langsung dan tidak langsung.

“Dijangkakan dengan perlaksanaan program industri petrokimia ini dan juga program ekonomi lain, pendapatan isi rumah di Sarawak akan meningkat dan Sarawak tidak ada lagi istilah Negeri Kaya Tapi Miskin menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd Shahabuddin Omar.