NEW YORK: Penjenayah dari Huntington, New York baru-baru, kantoi ketika cuba menipu kematiannya dengan menggunakan sijil kematian palsu.

Robert Berger, 25, cuba memalsukan kematiannya untuk mengelak daripada hukuman penjara, namun sijil kematian yang diberikan kepada peguamnya diragui mahkamah apabila terdapat salah ejaan padanya.

Berger kini menerima hukuman penjara sehingga empat tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Berger menghadapi tuduhan memiliki kenderaan curi dan cubaan mencuri sebuah trak, dua hukuman inilah yang cuba dielakkan olehnya.

Berger dihadapkan ke mahkamah namun tidak mengaku bersalah melakukan pemalsuan itu.

Dia dibenarkan ikat jamin AS$1 dan hakim mengarahkannya di penjarakan kerana dua kes sebelumnya.

Dia dijadualkan ke penjara pada Oktober tahun lepas, namun dia menghilangkan diri dan menipu peguamnya, pendakwa raya dan hakim berkaitan kematiannya.

Dalam sijil itu dia dikatakan membunuh diri dan meminta tunangnya menyerahkan sijil kematian tersebut kepada pihak mahkamah.

Sekali imbas pertama sijil kematian itu serupa dengan sijil kematian yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Statistik dan Kesihatan New Jersey, namun apabila diamati terdapat satu perkataan yang salah dieja iaitu “Registry” dieja “Regsitry”.

Jabatan Pendaftaran Statistik dan Kesihatan New Jersey juga mengesahkan sijil tersebut sijil kematian palsu.