BAITULMUQADDIS: Ribuan warga Israel melakukan demonstrasi di Jerusalem dan bandar lain termasuk Tel Aviv, yang menuntut pengunduran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas pemerintahannya dalam menangani pandemik Covid-19.

Di Jerusalem, mereka melakukan demonstrasi di luar kediaman rasmi Netanyahu dengan memegang sepanduk yang menuduhnya melakukan rasuah.

Januari lalu, Netanyahu didakwa atas tuduhan rasuah, penipuan dan terbabit dalam tiga kes pecah amanah.

Netanyahu bagaimanapun menafi kan semua pertuduhan itu. Menerusi kadbod yang dipegang oleh pemprotes, tertulis perkataan “Kami muak dengan orang-orang yang korup, di mana moralnya? serta di mana nilai-nilai murni?”.

Penunjuk perasaan turut membantah undang-undang yang diluluskan minggu lalu yang memberi kuasa khas kepada pemerintah untuk memerangi penularan virus tersebut sehingga akhir 2021.

Protes itu turut melibatkan kejatuhan ekonomi akibat wabak yang kini tersebar di seluruh negara dalam beberapa minggu terakhir.

Dalam beberapa kes, polis dikatakan menyembur penunjuk perasaan dengan meriam air serta mencederakan beberapa orang awam. Sebelum ini, Israel mendapat pujian atas tindak balas awalnya terhadap wabak Covid-19, namun pemimpinnya mendapat kritikan di tengah-tengah kebangkitan semula kes selepas sekatan dilonggarkan pada akhir April.

Dengan lebih 1,000 jangkitan harian dilaporkan dalam beberapa minggu, kerajaan kini mengenakan sekatan ketat semula termasuk penutupan pub, kelab malam dan gimnasium.

Negara yang dihuni sekitar sembilan juta penduduk itu setakat ini merekodkan 60,496 jangkitan termasuk 455 kematian.

Pada Sabtu lalu, ribuan penunjuk perasaan juga melakukan demonstrasi di bandar pesisir Tel Aviv.

Penunjuk perasaan turut menyuarakan kekecewaan mereka ke atas impak ekonomi ekoran wabak, dengan penganggur dan keluarga berpendapatan rendah mengatakan usaha kerajaan tidak cukup untuk membantu mereka.