SIMANGGANG: Pemain industri di sini boleh menarik nafas lega apabila cadangan tapak Taman Estet Perindustrian Sri Aman dianggarkan 5.5 hektar sedang dibina di Jalan Taman Sabu.

Estet perindustrian tersebut kelak akan menempatkan 51 lot tapak yang didirikan dengan bangunan untuk pengoperasian berpusat industri dan bengkel kecil.

Taman Estet Perindustrian Sri Aman terletak kira-kira dua kilometer dari Bandar Simanggang secara keseluruhan bernilai RM32.7 juta diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke11 (RMK-11).

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melakukan lawatan kerja ke tapak berkenaan sebelum mendengar taklimat daripada pihak konsultan mengenai perkembangan terkini projek.

Lawatan berkenaan turut disertai oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti merangkap Adun Simanggang Datuk Francis Harden Hollis dan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) Datuk Liaw Soon Eng.

Projek ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama merangkumi skop bernilai RM5.13 juta membabitkan kerja tanah dan RC Retaining Wall dan telah siap sepenuhnya.

Fasa satu ini siap pada 18 September 2019 iaitu 189 hari lebih awal daripada jadual asal. Manakala pembinaan fasa dua membabitkan kos RM8.6 juta merangkumi pembinaan infrastruktur seperti sistem saliran, penyambungan bekalan air, bekalan elektrik dan pemasangan kabel Telekom yang dijangka siap pada September 2021.

Siapnya pembinaan keduadua fasa projek ini akan menyediakan tapak untuk para pengusaha bengkel beroperasi secara berpusat di suatu tempat kerana sekarang lokasi berselerak pengusaha sama ada yang bersebelahan kedai mahupun di rumah kediaman.

Sejajar itu, Awang Tengah yang juga Menteri Mintred berkata, Kerajaan Sarawak giat membangunkan estet perindustrian di seluruh negeri bagi mengembangkan potensi pekan kecil serta memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, estet perindustrian ini dibangunkan di kebanyakan kawasan luar bandar atau pekan-pekan kecil seperti di Betong, Sematan, Marudi, Sibu, Limbang, Samalaju, Bau dan Kapit.