KUCHING: Ketua Menteri berkata, anak Sarawak perlu memelihara  hak dan kepentingan negeri ini kerana kalau bukan mereka, siapa lagi yang dapat berbuat demikian. 

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Sarawak perlu memacukan  pembangunan  sehingga  muncul sebagai negeri maju menjelang 2030.

Untuk itu, katanya, tumpuan kini diberi kepada pembangunan prasarana, termasuk jalan raya, jambatan, telekomunikasi dan kemudahan asas lain.

Ini  katanya termasuk jalan raya pesisir  utama kedua yang bernilai RM11 bilion.

Selain itu, ujarnya, pembangunan turut dilaksanakan di kawasan  Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan  RM4.5 bilion.

“Sekiranya Sarawak maju Malaysia juga maju,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di sini pada Selasa.

Ketua Menteri juga menjelaskan langkah yang diambil kerajaan untuk mendirikan menara telekomunikasi bagi menangani masalah kelajuan Internet di negeri ini.

Setakat ini, jelas beliau, lebih daripada 170 menara didirikan di seluruh negeri.