KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis penyerahan Sedidik Sdn Bhd kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).

Majlis ringkas penyerahan tersebut berlangsung di Wisma Bapa Malaysia petang semalam.

Sebagai simbolik penyerahan Sedidik Sdn Bhd, Pengerusi SEDC Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain menyampaikan dokumen ringkas kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah Abdullah dengan disaksikan oleh Ketua Menteri.

Ketua Menteri dalam ucapannya berkata, dengan pengambilalihan Sedidik Sdn Bhd, Kerajaan Sarawak dapat memastikan pendidikan berkualiti dan seimbang disediakan kepada kanak-kanak di peringkat awal lagi khususnya di luar bandar.

Sementara itu, Fatimah dalam ucapannya berkata, pendidikan awal kanak-kanak mampu membina generasi dan modal insan prihatin, berkebolehan dan bertanggungjawab.

“Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu pelaburan terbaik sesebuah negara untuk membina modal insan berilmu, berakhlak baik dan mempunyai jati diri yang tinggi,” ujarnya.

Katanya, ia mampu mengurangkan kos untuk program pemulihan pada masa akan datang.

Turut hadir ialah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Hussain dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dr Saadiah Abdul Samat.