BINTANGOR: Empat rakan senegara cedera parah kerana ditetak  seorang lelaki warganegara Indonesia sekitar 12.10 malam tadi.

Polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia yang dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Sekam Anoi, kejadian berlaku di rumah kongsi sebuah ladang kelapa sawit, dekat sini.

Jelasnya, pihaknya mendapat laporan daripada Hospital Sibu yang menerima empat lelaki cedera parah disyaki ditetak  menggunakan senjata tajam.

Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Hasil siasatan dan tindakan pantas, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun, warganegara Indonesia, yang dipercayai  menyerang keempat-empat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Katanya lagi, polis turut merampas sebilah parang  panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Jelasnya lagi, motif kejadian belum diketahui dan siasatan terperinci akan dijalankan.