KUALA LUMPUR: Perebutan parti-parti pembangkang  dalam meletakkan wakil di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membuktikan keretakan dan perpecahan dalam kalangan mereka sentiasa berlaku, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

“Kalau berlaku tiga penjuru, saya melihat ini adalah bukti keretakan dan kelemahan dalam parti pembangkang, di mana untuk PRK pun dia tak boleh nak berunding sesama sendiri.

“Saya nampak itu satu lagi bukti bahawa itu punca kejatuhan Pakatan Harapan (PH) iaitu perpecahan dalaman masih kekal hingga ke hari ini,” katanya seperti dipetik portal UMNO.

Dilaporkan sehingga hari ini, parti pembangkang baik dari PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun dari kem Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai bekas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); tidak rasminya digelar ‘Bersatu Blackout’ masih tidak mencapai kata sepakat wakil pembangkang bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Slim.

Seterusnya tambah Shahril, ketidaksepakatan PH dan kem ‘Bersatu Blackout’ itu juga menunjukkan mereka tidak mampu membawa agenda yang lebih besar untuk negara.

“Kita nampak dalam soal parti ‘blackout’ tersebut (‘Bersatu Blackout’) itupun, itu adalah mereka yang tidak boleh terima hakikat apa keputusan yang dibuat parti mereka secara rasmi.

“Tetapi kalau itu menjadi agenda mereka walaupun ada parti lain dalam PH nak bertanding juga…dia pun nak bertanding, maknanya agenda masing-masing yang tidak selari, tidak sepakat…nak lawan kita pun tak boleh nak sepakat. Jadi, apatah lagi agenda besar negara,” bidasnya.

PRK DUN Slim diadakan berikutan penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK di kawasan tersebut akan diadakan pada 29 Ogos dan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 2,183 undi setelah menewaskan calon dari PAS dan juga calon Bersatu yang pada ketika itu bertanding atas tiket parti PKR.