SIMUNJAN: Seramai 19 bekas pemimpin dan ahli-ahli PKR Cabang Kampung Zon Rangawan bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai GPS melalui PBB, kelmarin.

Mereka diketuai bekas Pengerusi PKR Cabang Kampung Zon Rangawan Abdul Kadir Ariffin berikrar akan menyokong GPS di hadapan Adun Simunjan Awla Dris dalam satu acara di Kampung Rangawan.

Mereka bertindak meninggalkan parti pembangkang kerana yakin hanya GPS yang mampu membawa pembangunan di Sarawak termasuk di Simunjan.

Awla Dris yang mengesahkan hasrat bekas pemimpin dan ahl-ahli PKR untuk menyertai PBB bangga dan berharap penyertaan mereka kelak mampu mengukuhkan lagi GPS di Simunjan terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, tindakan bekas ahli-ahli PKR itu membuktikan mereka sedia berjuang mempertahankan semangat Sarawakku Sayang.

“Saya bangga dan berterima kasih kepada bekas pemimpin PKR Cawangan Kampung Zon Rangawan kerana meninggalkan parti pembangkang itu tanpa sebarang syarat dan bersedia menyertai PBB untuk mempertahankan GPS.

“Hanya GPS yang dapat membawa perubahan dan rancangan pembangunan di negeri ini termasuk di kawasan Simunjan. “Namun yang penting rakyat perlu sentiasa mengekalkan kestabilan politik dan sentiasa memberi sokongan padu kepada kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Sebagai simbolik sokongan kepada GPS, mereka yang diketuai Abdul Kadir masing-masing menyarung baju GPS di hadapan Awla.

Difahamkan ini adalah peringkat pertama bekas ahli-ahli PKR meninggalkan parti itu dan ia akan disusuli oleh ahli-ahli PKR lain di Zon Rangawan dalam masa terdekat.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan Bojeng Ali; Ketua Pemuda PBB Cawangan Simunjan Alsagaf Jaafar dan Ketua Wanita PBB Cawangan Simunjan Kaunselor Rosita Poni.