KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi, Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mahukan kerajaan yang stabil di peringkat persekutuan, justeru GPS  mengambil keputusan untuk  menyokong kepemimpinan Tan Sri Mahyuddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Justeru, kata beliau yang juga Pengerusi GPS,  apabila ketidaktentuan di Putrajaya  pada penghujung Februari lalu tercetus, susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sehingga membawa kepada tumbangnya Kerajaan PH, maka GPS memilih untuk memberi sokongan kepada pihak yang dianggap mampu membawa kestabilan demi pembangunan berterusan  Sarawak. 

Untuk rekod, ketika 22 bulan di bawah PH, banyak projek pembangunan dibatalkan, termasuk jalan raya dan jambatan  — sesuatu yang dilihat banyak pihak sebagai menghukum rakyat Sarawak.

“Kerajaan persekutuan yang tak stabil akan membawa kerugian termasuk kepada Sarawak,” jelas beliau. 

Abang Johari  berkata demikian pada majlis sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) baru di sini, hari ini.

“Pendirian Kerajaan GPS adalah untuk Sarawak melihat keperluannya pembangunan prasarana yang begitu penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan PN Plus terbukti mampu mentadbir negara dengan berkesan sebagaimana terbukti daripada keupayaannya menghadapi pandemik Covid-19 di negara ini, termasuk dari segi pakej bantuan kepada rakyat.

“Malaysia diiktiraf antara negara terbaik dalam menangani wabak ini,” jelas beliau.