MUKAH: Peka akan keperluan bekas sekolah mereka bagi menghadapi norma baharu sesi persekolahan, sepuluh beradik mengambil inisiatif berkongsi rezeki menderma termometer inframerah tanpa sentuhan dan sabun pencuci tangan.

Menurut wakil beradik tersebut, Amysha, mereka berharap sumbangan tersebut dapat memudahkan guru-guru di SK Kampung Petanak untuk mematuhi SOP norma baharu sesi persekolahan.

“Kami berasa gembira dapat menyumbangkan keperluan ini lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang ini,” tambah Amysha.

Manakala, Penolong Kanan Pentadbiran SK Kampung Petanak, Masri Usop amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh sepuluh beradik tersebut dan mengharapkan ada lagi bekas-bekas pelajar sekolah berkenaan sudi menghulurkan bantuan.

“Dengan adanya termometer tanpa sentuhan ini, tugas guru bertugas harian yang mengambil suhu akan lebih mudah dan mempercepatkan proses kemasukan ke sekolah setiap hari,” katanya.

Sebagai rekod, SK Kampung Petanak mempunyai seramai 28 orang guru, 4 staf sokongan dan 267 murid.