KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperkenalkan lebih daripada 80 inisiatif atau perubahan sejak menerajui negeri ini pada Januari 2017. Inisiatif berkenaan menggambarkan keazaman politiknya untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri ini dengan idea segar dan memikat.

Seorang pemimpin yang berwawasan harus berupaya memperkenalkan idea yang jauh menjangkau idea kebanyakan rakyatnya walaupun ia mungkin sahaja mengundang kritikan.

Ingat akan bagaimana banyak idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik rakyat dan pembangkang pada 1980-an dahulu? Ini termasuk KLIA, Lebuh Raya Utara-Selatan, malah Menara Berkembar Petronas. Hari ini baru rakyat, pembangkang dan pengkritik sedar betapa ke hadapannya idea Dr Mahathir.

Melalui ucapan pada Hari Sarawak di Miri Rabu lalu, Abang Johari, pemimpin politik berpengalaman itu mengumumkan satu lagi langkah di luar kotak.

Pengumuman beliau bahawa Sarawak akan mempunyai stesen TV sendiri merupakan satu lagi kejutan, namun disambut baik rakyat negeri ini. Malah, pakar dan penganalisis media di ibu kota dan di negeri ini memberi sokongan terhadap langkah berkenaan. TV itu nanti merupakan yang pertama dimiliki syarikat berkaitan Kerajaan Negeri di negara ini.

Rakyat negeri ini bakal berpeluang menikmati saluran TV percuma dalam beberapa bulan lagi. Sarawak Media Group (SMG), syarikat berkaitan Kerajaan Sarawak akan mengurus dan mengendalikan stesen televisyen berkenaan.

Lesen berkenaan diluluskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk tempoh 10 tahun dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Kehadiran stesen TV ini penting untuk jangka masa panjang. Sebahagian rakyat mungkin sudah lupa bagaimana RTM di bawah Kerajaan PH selama 22 bulan ‘menggelapkan’ berita negeri ini terutamanya berkaitan Ketua Menteri dan menteri-menteri negeri.

Tindakan berkenaan mendapat kritikan oleh menteri Sarawak termasuk Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Apa yang saya katakan ini bukanlah tidak berasas. Saya perhatikan mereka. Rakyat Sarawak juga memerhatikan mereka. Kita bukannya bodoh. Kalau program-program itu dihadiri ketua menteri, anda pasti tidak akan nampak wajahnya keesokan hari.

“Apa yang anda cuba tunjukkan? Ini bermakna anda bermain politik. Ia seperti melepaskan batuk di tangga,” Abdul karim dipetik berkata pada mei 2019.

Beliau menjawab penafian RTM terhadap dakwaan media rasmi kerajaan itu tidak memberikan liputan secukupnya terhadap aktiviti kerajaan negeri. Malah, majlis Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean keempat dari 25 hingga 27 April 2019 tidak diberi liputan siaran langsung oleh RTM.

Namun PH mendakwa mereka mengamalkan kebebasan media. Kebebasan media apa namanya kalau sekatan dilakukan terhadap Kerajaan Sarawak? Tindakan sedemikian sebenarnya merugikan rakyat kerana rakyat di negeri ini dan seluruh negara perlu diberitahu tentang perkembangan dan peristiwa yang berlaku di negeri ini.

Dari satu segi, wujud kesendengan atau laporan berat sebelah yang terlalu berorientasikan Semenanjung dalam liputan media nasional termasuk saluran TV di negara ini. Fenomena ini bukan baharu tetapi sudah berlaku untuk sekian lama, malah sejak tahun 1970-an.

Ketidakseimbangan dari segi pengaliran berita dari Semenanjung ke Sarawak dan Sabah harus dibetulkan demi integrasi nasional dan bagi memastikan rakyat di Semenanjung juga lebih faham akan negeri ini.

Jika anda berpeluang ke Semenanjung, anda akan terkejut besar masih ada yang tidak kenal akan negeri ini sebagaimana kita kenal akan negteri-negeri di Semenanjung.
Bagi saya puncanya adalah kerana corak liputan media, termasuk TV yang tidak saksama terhadap Sabah dan Sarawak.

Jadi, kewujudan stesen TV yang berpangkalan di Sarawak yang bakal ditonton oleh seluruh negara, malah seluruh dunia melalui dalam talian juga, akan dapat menangani isu dan masalah ini. Yang penting asalkan program dan kandungannya berkualiti tinggi dan menarik.

Maksudnya, melalui saluran itu nanti kita akan dapat menjual dan memperkenalkan Sarawak kepada dunia luar asalkan saluran itu mampu membawa pembaharuan dari segi persembahan, kandungan dan penampilan pengacaranya.

Stesen TV ini perlu menampilkan anak Sarawak yang berbakat besar baik sebagai pengacara, moderator mahupun pembaca berita. Bakat terbaik dan berkualiti tinggi perlu diberi peluang untuk tampil bagi menjamin kejayaannya.

Sesuatu program TV jika mahu memastikan jumlah penontonan yang banyak harus mampu menghidangkan bahan yang memenuhi cita rasa khalayak.

Justeru, TV Sarawak perlu memberi perhatian kepada kandungan tempatan yang asli. Selain memaparkan program bercorak berita, hal ehwal semasa dan bicarawara, TV milik Sarawak itu nanti saya percaya akan turut memaparkan bahan lain seperti dokumentari dan drama berkisar tentang Sarawak.

Sudah pasti ini akan merancakkan industri seni kreatif di Sarawak. Dengan itu nanti, ia akan muncul sebagai platform yang membolehkan pemain industri di negeri itu menghasilkan karya seterusnya menjana pendapatan.

Ya, landskap media telah banyak berubah dalam beberapa tahun ini. Jadi, bagaimana masa depan TV? Ketika sesetengah pihak menyifatkan ia industri senja, Kerajaan Sarawak yakin bahawa masih ada ruang untuk TV konvensional.

Sebelum ini menonton TV bermaksud duduk di hadapan TV, namun amalan sedemikian sudah banyak berubah ketika khalayak banyak menonton melalui telefon bimbit dan komputer.

TV tradisional berdepan persaingan sengit daripada Netflix dan Amazon, peralatan Over-The-Top (OTT) seperti Chromecast dan Roku. Jika TV mahu menambat hati, diterima audiens dan terus menjadi media peneraju, ia perlu melakukan beberapa penyesuaian dan perubahan.

Televisyen meski berdepan ujian besar tetap akan memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran rakyat dan pembangunan negara. Menyebarkan kandungan dan nilai yang serasi dengan aspirasi pemimpin dan rakyat di negeri ini yang berazam untuk muncul sebagai negeri maju menjelang 2030 harus menjadi tumpuan saluran itu nanti.

Perlu kita akui bahawa televisyen bukan sahaja alat teknologi yang dapat menghidangkan hiburan, tetapi juga menyampaikan mesej sosial. TV tetap akan muncul sebagai alat komunikasi yang paling berpengaruh dalam kehidupan kita, terutama dari aspek politik, sosial dan ekonomi.

TV baharu itu perlu berazam untuk meningkatkan jumlah penonton dan peminatnya terutama dalam kalangan generasi muda yang lebih obses dengan platform media sosial. TV ini tidak boleh gagal.

Untuk itu, semua pihak termasuk golongan yang terbabit dalam industri kreatif perlu memberi kerjasama dengan melahirkan program dan penerbitan yang berkualiti tinggi dan sesuai dengan cita rasa penonton. TV ini milik kita. Jadi, kita perlu memastikan saluran berkenaan mencapai kejayaan dan diterima baik oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.