BELADIN: Tiga rumah penduduk di Kampung Hulu Beladin musnah terbakar malam tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima pangilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.52 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, PPgB Nazry Mohamat berkata Seramai 9 anggota bomba telah bergerak ke lokasi untuk memberi bantuan.

Ketika sampai di lokasi pihak bomba mendapati kediaman jenis struktur tidak kekal sedang terbakar dan merebak ke beberapa rumah bersebelahan.

Ketika dihubungi Nazry memberitahu perjalanan pasukan bomba ke lokasi kejadian mengambil masa 1 jam 16 minit untuk tiba . Pihak Bomba juga perlu melalui feri Pusa untuk menuju ke Beladin.

Selain itu pasukan juga menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan tersebut kerana laluan yang sempit.

Semasa di lokasi pihak bomba juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan air dari pili bomba semasa usaha memadam kebakaran dilakukan di samping berdepan masalah tekanan air yang rendah.

“Dalam insiden kebakaran itu rumah pertama yang terlibat membabitkan rumah setingkat dengan 2 orang penghuni yang terdiri daripada seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Rumah Kedua yang terlibat adalah rumah dua tingkat dengan 12 orang penghuni yang terdiri daripada 5 lelaki dan 3 perempuan dewasa. Di dalam rumah itu juga terdapat 2 Kanak-Kanak lelaki dan 2 kanak-Kanak perempuan.

“Rumah ketiga yang terlibat iaitu rumah 1 tingkat yang ada 8 orang penghuni iaitu 3 Lelaki dewasa, 4 perempuan dewasa dan 1 kanak-kanak lelaki .

“Tiga rumah terlibat boleh dikatakan musnah sepenuhnya dan semua barangan milik penghuni musnah dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kehilangan jiwa. Operasi pemadaman tamat pada jam 1.30 pagi,” ujarnya.

Jumlah kerugian kini belum dapat dipastikan dan punca kebakaran juga kini masih dalam siasatan.