KUCHING: Berkuatkuasa pada 1 Ogos sehingga 14 Ogos 2020, semua tempoh masa operasi perniagaan adalah dihadkan bermula dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pengurangan tempoh masa operasi perniagaan ini adalah berkuatkuasa di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Ujar beliau, keputusan ini dicapai setelah JPBNS bermesyuarat hari ini dengan mengambilkira beberapa kemungkinan yang berlaku berdasarkan maklumat kes-kes yang telah dilaporkan.

“Jumlah kes aktif yang dilaporkan di Sarawak masih tinggi iaitu sebanyak 70 kes.

Daripada jumlah tersebut, Daerah Kuching merekodkan sebanyak 52 kes dimana 38 kes adalah jangkitan tempatan dan 14 kes adalah kes import.

Manakala di Daerah Samarahan pula, kes jangkitan tempatan sebanyak 11 dan kes import sebanyak 2. Daerah Bintulu mencatat 3 kes import, Bau satu (1) kes jangkitan tempatan dan Lundu satu (1) kes import,” kata beliau semasa sidang media Covid-19 di Kuching hari ini.