Untuk beberapa hari, jumlah kes di Kuching adalah agak tinggi walaupun kurang daripada 10 kes sehari.

Pada Sabtu, jumlah kes positif Covid-19 ialah lapan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 649 kes.

Namun, untuk beberapa waktu, jumlah kematian kekal 18 kes.

Semua pihak wajar berasa risau dengan peningkatan kes yang ketara sesudah kita hampir berjaya mengekangnya sesudah virus maut itu mulai dikesan di Sarawak pada 13 Mac lalu.

Susulan jumlah kes yang kian meningkat, pada 18 Mac lalu kerajaan tidak punya pilihan melainkan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan, sebelum PKPB dan sesudah itu PKPP.

Tujuannya untuk memastikan jumlah kes dapat dikekang walaupun langkah berkenaan menyebabkan berlakunya penguncian dan rakyat berkurung di rumah.

Sekitar tiga lalu ketika kita mulai mengadakan PKPP, jumlah kes jangkitan di negara ini memperlihatkan trend menurun.

Pada 1 Julai, kita mencatatkan hanya satu kes positif tanpa jangkitan daripada kes tempatan.

Namun, sesudah itu, trendnya meningkat ke dua angka — sesuatu yang merisaukan.

Memang kita wajar berasa risau dengan perkembangan dalam beberapa hari ini.

Tidak ada yang mahu kembali ke hari-hari waktu kita di bawah PKP, waktu yang pergerakan kita dibataskan.

Kita kini berdepan situasi kemungkinan akan mengalami PKP semula.

Ini sebahagiannya berpunca daripada tindakan segelintir rakyat yang mengambil ringan arahan kerajaan dan peraturan yang ditetapkan.

Misalnya, kita bertindak seolah-olah kita dalam keadaan biasa sebelum Covid-19. Walhal, kita sebenarnya seharusnya mengamalkan kebiasaan baharu, dan bukan menganggap bahawa kita seperti sebelumnya.

Keselesaan biasanya membawa kemudaratan.

Justeru, kita perlu mengambil serius nasihat kerajaan. 

Kejayaan kita mengekang virus ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan. Hakikatnya, peranan dan tangungjawab rakyat jauh lebih penting.

Ingat, perjuangan dan perang terhadap Covid-19 masih lagi belum tamat. Sebaliknya, perjuangan melawan virus maut itu semakin sukar.

Kalau rakyat bersikap enteng atau endah tak endah, bersedialah untuk berdepan risiko.

Barisan depan telah berjuang dan banyak berkorban. Kita perlu bersikap lebih bertanggungjawab.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini tidak menolak kemungkinan PKP kembali dilaksanakan jika kes positif harian Covid-19 mencecah tiga angka.

Beliau berkata, jika kes terus meningkat kerajaan tiada pilihan melainkan menguatkuasakan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan seperti yang dilakukan pada awal penularan wabak berkenaan.

“Empat hari berturut-turut kes meningkat. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan kes meningkat disebabkan kealpaan kita sendiri. Kita lupa apabila kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) akhirnya kes semakin meningkat,” beliau dipetik berkata.

Jelasnya, PKP akan dilaksanakan jika kes baharu meningkat ke tiga angka.

Kita tiada pilihan dan tutup semua pergerakan.

Kuching kini kembali ke zon merah.

Ini tentu satu berita buruk kepada rakyat Sarawak.

Kita tidak mampu untuk kembali berkurung di dalam rumah dan menghentikan segala kegiatan ekonomi.

Kita mahu semua orang turun bekerja supaya mereka dapat memberi makan kepada keluarga mereka.

Ya, selepas  daerah ini mencatatkan 41 kes setakat 12 tengah hari Sabtu.

Semalam lapan kes positif Covid-19 dicatatkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan 649 kes dengan 18 kematian.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) akan mengadakan mesyuarat khas di sini esok.

Tujuannya untuk membincangkan perkembangan terkini pandemik Covid-19 di Daerah Kuching, kata Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jadi, segala-galanya di tangan kita. Kita mahu kembali menjalani PKP atau tidak?