Terdapat segelintir rakyat Sarawak  kurang memahami Hari Sarawak daripada perspektif sejarah. Sebaliknya, lebih melihat Hari Sarawak daripada  imaginasi komuniti, bersifat kolektif memori yang tidak sepenuhnya dilihat daripada kaca mata sejarah.

Perspektif interaksi simbolik daripada perspektif antropologi lebih terserlah pada awal isu berkumandang ini sehingga 22 Julai diwartakan sebagai Hari  Kemerdekaan Sarawak oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 20 Mei 2016. 

Perspektif ini sebenarnya lebih kepada pandangan nostalgia atau memori kolektif yang bersifat fragmentasi sejarah atau pecahan-pecahan yang tidak disusun dan digabung menjadi suatu yang konkriti dan pandangan menyeluruh.

Sebaliknya ini lebih kepada hasil pemahaman daripada perlakuan budaya atau interaksi sosial yang bersandarkan pengalaman  budaya harian dan ingatan yang belum dipejalkan dalam bentuk konkrit data sejarah yang ampuh.

Akibat daripada itu, wujudlah gesaan agar sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai  digantikan nama kepada Hari Kemerdekaan Sarawak  sesuai dengan pewartaan tersebut.

Perspektif Sejarah 

Tarikh 22 Julai memang tarikh bersejarah kepada Sarawak kerana sekurang-kurang 5 perkara besar berlaku dalam sejarah negeri Sarawak.  Yang pertama ialah Pewartaan Majlis Tinggi baharu oleh Gabenor  Sir Alexander (Nicol Anton)  Waddel secara simbolik  ke arah berkerajaan sendiri pada tahun 1963. 

Pada tarikh tersebut juga pelantikan Ketua Menteri yang pertama Sarawak, iaitu Stephen Kalong Ningkan. Pembentukan. Yang ketiga ialah pembentukan Jawatankuasa Tertinggi atau Kabinet negeri dibentuk. Kabinet pertama ini terdiri daripada  pelbagai etnik, 

Abdul Taib Mahmud  ketika itu seorang peguam, manakala James Wong Kim Ming merupakan kanselor Limbang dan tokoh korporat, Awang Hipni Pengiran Anu merupakan kaunselor Matu manakala Dustan Endawie Anak Enchana merupakan kaunselor di Limbang serta Teo Kui Seng seorang taikun dalam industri perkapalan Sarawak. Pelantikan ini bermakna Sarawak sudah bersedia berkerajaan sendiri namun bukan bermakna Sarawak sudah merdeka pada tarikh tersebut. Kesemua watikah ini

Kolonial menaiki sampan

Pada tarikh 22 Julai tersebut juga diingati dan berupaya membentuk kolektif memori  generasi lama apabila  Gabenor Kerajaan Inggeris terakhir, iaitu Sir Alexander Waddell keluar dari Astana kemudian menaiki sampan  menyeberangi Sungai Sarawak  untuk  menyerahkan  pentadbiran Kerajaan Sarawak kepada rakyat tempatan. 

Perlakuan ini membawa kepada perlakuan simbolik  yang membina memori kolektif rakyat Sarawak.  Peristiwa  kelima berlaku pada tarikh tersebut ialah  Bendera Union Jack diturunkan. Namun ketika itu, Gabenor Sarawak tempatan baru belum dilantik lagi.  Pelantikan Gabenor Sarawak pertama kalangan anak tempatan baharu hanya berlaku pada 13 September 1963 apabila Tun Abang Haji Openg Abang Sapi’ee dilantik dalam jawatan tersebut.

Kemerdekaan Sebenar

Hakikatnya  Sarawak tidak merdeka pada 22 Julai 1963, sebaliknya hanya mencapai status negara berkerajaan sendiri.  Hal ini kerana  kesemua arahan dan peraturan  terikat dengan  kuasa kolonial.  Kuasa perlembagaan masih lagi dipegang oleh Gabenor Inggeris dan apa-apa urusan tertinggi masih lagi  terletak mutlak pada Ratu Elizabeth di London. 

Pada masa sama, Jawatankuasa Tertinggi atau Kabinet negeri dibentuk dan semua Menteri menerima watikah daripada Waddell. Berikutan pelantikan Ketua Menteri serta barisan Kabinetnya, pentadbiran Sarawak dijalankan oleh pemimpin tempatan termasuk Datuk Abdul Taib Mahmud (kini Tun) yang ketika itu memegang portfolio Komunikasi dan Kerja Raya. Tetapi kuasa perlembagaan masih dipegang oleh Gabenor Inggeris di peringkat negara Sarawak manakala kuasa tertinggi terhadap Sarawak masih lagi hak mutlak Ratu Elizabeth di London.

Perlantikan kabinet pertama Negara Sarawak ini merupakan satu detik sejarah bagi Sarawak kerana ini menandakan akan berakhirnya era Sarawak menjadi salah satu jajahan Koloni British dan ke arah Sarawak berkerajaan sendiri pada waktu itu. Kesemua watikah ini dianugerahkan oleh Waddell yang masih merupakan kolonial yang memegang jawatan Gabenor Sarawak yang mempunyai status sebagai Tuan Yang Terutama Gabenor Koloni Mahkota British Sarawak.

Ketika Ketua Menteri Sarawak yang pertama menjalankan tugasnya manakala kabinet pertama masing-masing merancang masa depan Sarawak ketika tarikh tersebut,  Gabenor Inggeris masih menjalankan tugas sehingga 16 September 1963.

Hakikatnya, pada ketika itu kuasa perlembagaan masih dipegang oleh Gabenor Inggeris di peringkat negara Sarawak ketika itu. Ratu Elizabeth di London pula masih lagi mempunyai hak mutlak  yang merupakan kuasa tertinggi yang perlu dipatuhi. Hal ini membuktikan bahawa 22 Julai lebih ke arah berkerajaan sendiri dan bukannya merdeka.  Namun Hari Sarawak perlu diingati sebagai detik-detik bersejarah  ke arah berkerajaan sendiri.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.