BUKIT SABAN: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) telah memperuntukkan dana sebanyak RM265 juta untuk sektor pertanian bagi meningkatkan taraf hidup para petani.

Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga menggalakkan para petani untuk mempelbagaikan tanaman alternatif seperti sayur-sayuran sebagai potensi baru selain tanaman tradisional seperti lada, getah dan sawit.

Semasa Majlis Pelancaran Jerayawara GPS DUN Bukit Saban Peringkat Ranting Rimbas Tengah semalam, Datuk Amar Douglas berkata kementeriannya akan menerokai potensi pasaran eksport dengan terbinanya Lapangan Terbang di Spaoh kelak.

ADUN Bukit Saban itu menambah hampir semua rumah panjang di kawasannya telah memiliki kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Tegasnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai kerajaan telah merangka pembangunan secara berterusan dan melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.

Beliau turut menyentuh pentingnya untuk sektor pendidikan diperhebatkan selain perlu memikirkan latihan yang bersesuaian untuk golongan belia yang mengganggur.

Katanya, jelajah sama akan diteruskan dalam mempromosi lambang GPS ke rumah-rumah panjang selain memberi penjelasan mengenai program-program kerajaan untuk kesinambungan pembangunan kawasan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat berharap penduduk di Bukit Saban terus memberi sokongan kepada Datuk Amar Douglas kerana beliau terbukti telah membawa banyak perubahan di kawasan tersebut.

Jelas beliau, Betong amnya dan Bukit Saban khasnya secara telah memiliki infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air, sekolah dan jalan raya.

Namun, keperluan semasa di setiap tempat memang diambil maklum dan sentiasa dilaksanakan secara berterusan, tambah beliau lagi.