KUCHING: Dua puluh sembilan individu yang ditahan akibat tidak mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam terus dikenakan kompaun RM1,000 serta-merta, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani menegaskan kesemua suspek ditahan hasil pemeriksaan pasukan pemantau khas Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching di tiga lokasi iaitu premis Jalan Tun Jugah, tempat letak kereta Saradise BDC dan City Square Pending.

Menurutnya, tindakan kompaun dikeluarkan mengikut kesalahan di atas Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 7)(2020).

“Pemeriksaan pertama berjaya mengenakan kompaun terhadap 17 warga tempatan yang terdiri daripada pelanggan dan pemilik premis itu sendiri.

“Seterusnya pasukan pemantau turut menahan 12 individu di dua tempat letak kereta berasingan setelah didapati berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan sosial sambil minum minuman keras,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, daripada jumlah tersebut, 17 orang daripadanya merupakan wanita manakala selebihnya adalah lelaki dan kesemua mereka merupakan warganegara tempatan.

Sehubungan itu, tegasnya, pemantauan dan pemeriksaan akan terus giat dijalankan bagi mengelakkan penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Tambahnya, tindakan kompaun secara drastik akan terus diambil bagi memastikan masyarakat setempat sedar akan norma baharu selain memainkan peranan penting untuk bersama-sama dalam usaha mencegah penyakit berjangkit itu daripada merebak.

“Sebelum ini kita cuba mengambil pendekatan dengan memberi amaran kepada pelanggan dan pengusaha premis agar prosuder operasi standard(SOP) dipatuhi namun didapati ada di antaranya masih ingkar.

“Hal ini kerana orang awam semakin leka serta mengambil mudah pematuhan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya lanjut.

Sementara itu, ujarnya, denda kompaun RM1,000 yang telah dikeluarkan oleh pihak polis ke atas individu ingkar perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh masa 14 hari.