KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar membidas PSB kerana membuat dakwaan berkaitan tarikh 22 Julai berasaskan fakta tidak betul.

PSB pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh menyatakan bahawa Sarawak mencapai kemerdekaan dan bukannya pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963.

Kata beliau, parti berkenaan sepatutnya mendalami pembelajaran sejarah negeri ini dengan lebih lanjut.

“Nasihat saya – pelajari sejarah anda sebelum memikirkan untuk perkara lebih besar seperti memerintah Sarawak,” jelasnya.

Hari Sarawak mulai diraikan dan diisytiharkan sebagai cuti umum sejak 2016. 

Pada tahun ini perayaan diadakan di Miri bertemakan ‘Sarawak Cemerlang.’

PSB juga ingin tahu sama ada GPS telah tidak lagi memperjuangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 sejak bersama-sama PN pada Mac lalu.

Menjawab isu berkenaan, Wan Junaidi menegaskan, Perjanjian Malaysia 1963 menetapkan bahawa Akta Malaysia 1963 berkuat kuasa pada 31 Ogos 1963, bermakna bahawa penguasaan Empayar British terhadap Singapura, Sarawak dan Sabah berakhir.