KUCHING:  Jangan pandang ringan tentang sejarah kemerdekaan dan undang-undang Sarawak.

Itu peringatan PRS kepada PSB pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh.

Timbalan Setiausaha Agung PRS Rita Sarimah Patrick Insol berkata, mereka terkejut dengan tindakan PSB yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkaitan isu 22 Julai sebagai tarikh Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri dan bukan kemerdekaan.

Menurut PSB dalam satu kenyataan, Sarawak merdeka ketika melaksanakan Perjanjian Malaysia dan Sarawak ialah rakan setara di negara ini.

“Undang-undang dan sejarah menunjukkan bahawa Sarawak diberi kuasa untuk memerintah sendiri dan bergabung untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963,” jelasnya.

Katanya lagi, Kabinet Sarawak dibentuk dan Datuk Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri pertama pada 22 Julai 1963.

Ujar Rita, sejarah membuktikan bahawa penjajahan Sarawak oleh Great Britain hanya berakhir pada 16 September 1963 ketika Sarawak bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Sabah membentuk Malaysia.

“Meskipun 22 Julai diwartakan sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak, rakyat harus memahami istilah itu perlu difahami dalam konteks pemerintahan sendiri, bukannya kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris,” tegasnya.

Sarawak meraikan Hari Sarawak sejak 2016, dan pada tahun ini hari bersejarah itu diraikan di Miri dengan tema ‘Sarawak Cemerlang.’

Tujuan hari berkenaan digazetkan sebagai cuti umum sejak 2016 adalah sebagai usaha menghargai jasa pejuang kemerdekaan Sarawak.

“Sejarah tidak pernah berbohong dan umum mengetahui mengenainya,” kata Rita lagi.