MIRI: Dua individu lelaki dipercayai cuba menyeludup dadah jenis Methamphetamine dianggarkan sebanyak 11,000 gram berjaya dicekup polis di hadapan pintu balai ketibaan Lapangan Terbang Miri, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, suspek berjaya ditangkap sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah Miri sekitar jam 7.45 petang di lokasi.

Menurutnya, aksi mencurigakan kedua-dua suspek itu ketika tiba di pintu terbabit menyebabkan mereka diarahkan oleh penguat kuasa untuk membuka beg bagasi masing-masing.

“Hasil pemeriksaan bagasi putih mendapati terdapat enam bungkusan plastik mampat bewarna hijau tertera tulisan ‘guanyinwang’ berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 6,000 gram.

“Satu lagi bagasi berwarna perak pula berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis sama dianggarkan seberat 5,000 gram ditemui hasil pemeriksaan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Miri untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek masing-masing positif dadah jenis THC dan Methamphetamine.

Sehubungan itu, jelasnya, kedua-dua ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut mendedahkan mahkamah membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari.

Ujarnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dijatuhkan hukuman mati.