BEIJING: Pemandu bas dikatakan sengaja menerjunkan bas dipandunya ke dalam takungan air selepas mendapat tahu rumahnya diroboh oleh pihak berkuasa.

Dalam insiden itu, 21 orang terbunuh dan 15 yang lain cedera selepas bas tersebut
melanggar pagar keselamatan lalu menjunam masuk ke dalam takungan air menyebabkan separuh badan bas tenggelam.

Tragedi hitam itu berlaku di kota Anshun, wilayah Guizhou.

Ketika kejadian terdapat 12 pelajar dalam perjalanan pulang di dalam bas itu dan lima daripada mereka meninggal dunia.

Pemandu bas bernama Zhang turut terbunuh dalam insiden berkenaan.

Zhang dikatakan tidak puas hati dengan kehidupannya dan dia juga marah selepas rumahnya diroboh oleh pihak bandar raya.

Menurut polis, Zhang biasanya mula bekerja pada sebelah tengah hari tetapi pada hari kejadian dia menukar syifnya kepada waktu pagi dengan seorang pemandu lain.

Sekitar 9 pagi dia membeli sebotol arak baijiu dan selang beberapa jam sebelum insiden itu dia menghubungi teman wanitanya melalui aplikasi WeChat, menceritakan rasa penatnya tentang kehidupan yang dilaluinya.

Zhang kemudian minum arak yang dibelinya. Semasa bekerja dengan sebuah kilang diesel di wilayah Xixiu, Zhang diberikan rumah, namun dia tidak tinggal di rumah itu lagi.

Zhang dikatakan tahu rumah itu akan dirobohkan dan dia minta diberikan pampasan serta rumah baharu, namun apabila dia diberikan wang AS$10,360 dia menolaknya dan berusaha mencari rumah lain.

Pada hari kejadian, Zhang mendapat tahu rumahnya sudah dirobohkan menyebabkan dia tidak lagi memiliki sebarang rumah.