MIRI: Industri hidrokarbon Sarawak mempunyai masa depan yang baik apabila beberapa syarikat multinasional antarabangsa telah menyatakan komitmen untuk melabur di dalam industri petrokimia di Bintulu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebuah syarikat telah mengemukakan perancangan kepada kerajaan untuk melabur sebanyak RM24 billion di Tanjung Kidurong.

“Kerajaan Sarawak akan memastikan perancangan para pelabur ini menjadi kenyataan dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Sarawak bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ di Hotel Pullman di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Pengangkutan merangkap menteri bertanggungjawab sambutan Hari Sarawak 2020 Datuk Lee Kim Shin serta menteri-menteri kabinet negeri yang lain.

Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai rizab gas asli yang terbesar di negara ini iaitu 54 peratus daripada rizab negara.

Oleh itu, katanya Kerajaan Sarawak telah menetapkan dasar supaya sekurang-kurangnya 45 peratus daripada pengeluaran gas di Sarawak dikekalkan di Sarawak untuk tujuan sebagai ‘feedstock’ kepada industri petrokimia khususnya di Tanjung Kidurong, Bintulu.

“Tapak seluas 1,000 ekar di Tanjung Kidurong sedang dibangunkan untuk industri petrokimia bagi menjadikan Bintulu sebagai hub industri petrokimia Sarawak.

“Kerja-kerja untuk membina loji petrokimia pertama kepunyaan Sarawak dengan kos berjumlah RM3.74 bilion di Bintulu untuk menghasilkan methanol sudah pun bermula.

“Ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkasakan industri petrokimia dan menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri pengeluar utama hiliran minyak dan gas,” katanya.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata hub petrokimia Bintulu dijangka akan mampu menjana RM16 billion hingga RM20 billion kepada KDNK tahunan Sarawak dan mewujudkan 74,000 peluang pekerjaan.

“Syarikat minyak dan gas Sarawak atau PETROS yang telah kita tubuhkan akan memainkan peranan yang besar untuk membangunkan industri hiliran sektor gas di negeri ini,” katanya.

Di samping industri petrokimia, beliau berkata Zon Perindustrian Samajaya juga akan menerima pelaburan sebanyak RM20 bilion dalam industri elektronik manakala Taman Perindustrian Samalaju akan menerima pelaburan sebanyak RM17 bilion dalam industri keluli.