KUALA LUMPUR: Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) bertanyakan Menteri Kerja Raya  mengenai status terkini pembinaan projek Lebuh raya Pan Borneo.

Beliau  ingin tahu justifikasi kerajaan terdahulu membatalkan pelantikan Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan kesan penamatan syarikat PDP tersebut terhadap pelaksanaan projek.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu-isu berkenaan menjadi tumpuan Ahli Parlimen menerusi tiga soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Selain isu berkaitan projek Lebuhraya Pan Borneo, industri ikan tuna dan isu Lesen Pengeluaran Filem ialah perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sidang dewan yang memasuki hari kelapan hari ini dijadual menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.