TOKYO: Lelaki Jepun dari Aichi Prefecture, ditahan polis selepas menggores tayar kereta lebih 1,000 wanita.

Yoshito Harada, 32, dikatakan melakukannya dengan sengaja untuk membolehkannya berkenalan dengan semua mangsanya.

Selepas tayar tersebut pancit, dia akan mengikut wanita itu sehingga mangsanya keluar untuk memeriksa tayar dan kemudiannya berpura-pura membantu mereka.

Pada bulan lepas seorang wanita berusia 43 tahun keluar dari pasar raya di Higashiura dan selepas memandu beberapa minit dia mendapati tayarnya pancit.

Semasa memeriksa tayar tersebut, dia didatangi lelaki yang menghulurkan bantuan untuk menukar tayarnya.

Wanita itu tiba-tiba teringat dia pernah melalui kejadian yang sama setahun lalu dan dia juga merasakan seperti dia pernah melihat wajah lelaki itu sebelum ini.

Wanita itu kemudian membuat aduan polis dan memberitahu dia mengalami insiden serupa tahun lalu.

Hasil siasatan melalui CCTV pasar raya itu, polis mendapati lelaki itu menggores tayar wanita tersebut ketika mangsanya berada di dalam pasar raya.

Polis menahan Harada dan dia juga mengaku melakukan semua perkara itu untuk berkenalan dengan wanita.

Menurutnya lagi dia sudah melakukan perkara itu banyak kali. Apabila kisahnya diketahui ramai, semakin ramai mangsanya menceritakan kisah yang sama dan pada 2013 ketika dia berusia 25 tahun, kesnya dibawa ke mahkamah dan menurut peguamnya ketika itu dia sudah menggores lebih 1,000 tayar.

Pada 2016, dia ditahan polis sekali lagi dan pada tahun ini dia ditahan untuk kali ketiga.