MIRI: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  melahirkan keyakinan bahawa negeri itu mampu melakarkan pertumbuhan yang diingini sebanyak enam hingga lapan peratus menjelang 2030 meskipun cabaran pasca-Covid-19 menjadikan sasaran tersebut agak sukar.

Menurut Ketua Menteri sasaran berkenaan dicapai dengan suntikan gabungan secara besar-besaran daripada peruntukan belanjawan negeri dan pelaburan asing.

“Berbekalkan jumlah peruntukan perbelanjaan sebanyak RM20 bilion dalam tempoh dua tahun ini, ekonomi tempatan kita akan disuntik dengan dana yang besar untuk perbelanjaan awam,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Sarawak 2020 di sini malam tadi.

“Ini tentu sahaja akan meningkatkan penggunaan dalam ekonomi yang akan memberikan kesan menopang ekonomi,” katanya lagi.

Beliau berkata Kerajaan Negeri telah mentadbir dan menguruskan ekonomi serta sumber asli dengan sebaik mungkin sehingga ia berkembang dan mempelbagaikan asas ekonomi yang kukuh selain mewujudkan rizab kewangan yang besar.

“Sekarang, kita berada dalam era digitalisasi dengan kemakmuran ekonomi bergantung kepada kekuatan teknologi.

“Kita mempunyai semua bahan untuk menjadi sebuah negeri makmur yang berasaskan dasar ekonomi yang kukuh dan perpaduan rakyat Sarawak,” kata Abang Johari.

Tema hari Sarawak tahun ini ialah ‘Sarawak Gemilang’ selari dengan sasaran Ketua Menteri menjadikan Sarawak maju menjelang 2030.

Abang Johari berkata terdapat juga suntikan sebanyak RM61 bilion dari segi pelaburan asing dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dalam ekonomi tempatan Sarawak.

Menurut beliau, rakyat Sarawak mewarisi peninggalan nenek moyang mereka yang telah membayangkan masa depan lebih baik untuk generasi selepas mereka.