RIYADH: Ibadah Haji tahun ini dihadkan untuk sekitar 1,000 jemaah 29 Julai ini memandangkan Arab Saudi bergelut dengan lonjakan kes pandemik Covid-19, kata pihak berkuasa negara itu.

Menurut AFP, ibadah haji tahun ini dilaksanakan mengikut protokol kebersihan yang ketat, dengan akses terhad kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Pegawai dari Saudi Press Agency dipetik berkata, kemuncak ibadah haji, iaitu wukuf di Padang Arafah jatuh pada Khamis dan Rabu menjadi hari pertama ibadah tahunan itu.

Arab Saudi menetapkan hanya jemaah yang sudah berada di negara itu sebelum penguncian Covid-19 termasuk warga asing, boleh mengerjakan ibadah tersebut tahun ini. Keputusan itu menerima pelbagai reaksi banyak pihak.

Namun ia tetap disokong oleh beberapa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) . Bagaimanapun, Iran menyatakan kekecewaannya kerana tidak diajak berunding berkaitan masalah tersebut.

Selain itu, banyak pihak meragui kemampuan Arab Saudi menangani wabak Covid-19. Setakat ini, sebanyak 253,349 kes jangkitan dengan 2,523 kematian direkodkan di Arab Saudi. Ia jumlah tertinggi dalam kalangan negara Teluk.

Walaupun pegawai haji mengatakan iabadah dihadkan kepada 1,000 jemaah yang sudah berada di dalam negara itu, 70 peratus daripada mereka ialah warga asing dan selebihnya warga tempatan.

Beberapa laporan media mengatakan 10,000 orang mungkin mengambil bahagian. Haji tahun ini dihadkan kepada profesional perubatan dan anggota keselamatan yang sembuh daripada virus tersebut, kata Kementerian Haji.

Para jemaah perlu disaring untuk Covid-19 sebelum tiba di Makkah dan diminta dikuarantin di rumah selepas selesai mengerjakan ibadah tersebut, menurut pegawai kesihatan.

Pengurangan jumlah jemaah haji merupakan kerugian besar bagi Arab Saudi, yang belum pulih daripada dua kejutan yang mengurangkan pendapatannya akibat penularan virus dan penurunan harga minyak dunia.