ATHANI: Seorang wanita terpaksa membawa mayat suaminya ke tempat pembakaran menggunakan kereta sorong selepas anggota keluarganya dan keluarga suaminya tidak mahu membantunya menguruskan mayat suaminya.

Mereka dikatakan takut Sadashiv Hiratti, 55, meninggal dunia akibat Covid-19.

Di pertengahan jalan ketika wanita tersebut bersama-sama anaknya menyorong kereta sorong tersebut, seorang lelaki datang menghulurkan bantuan kepada mereka berdua dan menyorong kereta itu sehingga ke tempat pembakaran mayat.

Suaminya dipercayai meninggal dunia di rumahnya ketika isteri dan dua anaknya melawat sanak-saudara mereka di Chikkatti.

Hiratti, yang bekerja sebagai pembuat kasut menghidap sakit jantung dan kemungkinan besar meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketika sampai di rumah, isteri dan anak-anaknya mengetuk pintu berkali-kali tetapi tiada jawapan.

Mereka kemudian meminta bantuan jiran untuk memecah pintu dan menemuinya sudah meninggal dunia di kerusi.

Sebaik sahaja mendengar berita kematiannya, sanak-saudara dan jiran-jirannya mengunci diri di dalam rumah masing-masing kerana bimbang Hiratti meninggal akibat Covid-19.