MIRI: Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sarawak sedang rancak melaksanakan projek-projek infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, bekalan air dan elektrik khususnya di luar bandar.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sejumlah RM5 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan keselesaan kepada kehidupan rakyat.

“Saya bersyukur kerana sebahagian besar rakyat kita menikmati kemudahan bekalan air dan elektrik. Sekarang liputan bekalan air terawat telah mencapai 83 peratus manakala  liputan bekalan elektrik pula ialah 97 peratus,” katanya dalam ucapan sempena Hari Sarawak di sini malam tadi.

Sejak menerajui negeri ini pada 2017, Abang Johari banyak memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, malah projek dilaksanakannya menurut data, adalah sekitar 70 peratus untuk rakyat luar bandar.

Sementara itu, beliau yakin bahawa kekuatan ekonomi Sarawak juga terletak pada  industri pengeluaran makanan untuk tujuan eksport.

“Negeri kita mempunyai tanah yang luas dan ditambah dengan aplikasi teknologi pertanian moden, kita yakin pengeluaran hasil pertanian kita akan mencapai skala komersial,” katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan akan berusaha mewujudkan mekanisme pemasaran dan pematuhan kepada standard yang tinggi supaya ada jaminan bahawa pengeluaran pertanian oleh para petani Sarawak mempunyai pasaran yang tetap dan diterima di peringkat antarabangsa.