MIRI: Kerajaan Sarawak telah mentadbir  dan menguruskan ekonomi dan sumber asli dengan baik sehingga mampu mengembangkan dan pelbagaikan asas ekonomi yang kukuh, selain mewujudkan rizab kewangan yang besar, kata Ketua Menteri.
Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kini kita berdepan era pendigitalan apabila kemakmuran ekonomi banyak bergantung kepada kuasa teknologi.

“Kita mempunyai semua rempah ratus untuk muncul sebagai negeri makmur yang perlu berpaksikan dasar ekonomi yang jitu dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya dalam ucapan sempena perayaan Hari Sarawak di sini, malam tadi

Hari Sarawak bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ diraikan secara maya dengan pelbagai program yang menarik di bandar raya yang semakin membangun.

Abang Johari yang mulai menerajui negeri ini pada Januari 2017 berkata, Sarawak amat bernasib baik kerana hanya selepas beberapa bulan beliau menerajui tampuk kepemimpinan negeri ini, beliau  dapat mengambil alih Empangan Hidro Bakun dengan tawaran yang berbaloi daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini bermakna kita mempunyai kuasa penuh terhadap sumber tenaga lestari yang begitu penting untuk pembangunan ekonomi dan perindustrian,” katanya.

Ujarnya lagi, sumber tenaga tenaga lestarilah yang menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berat di bawah SCORE khususnya di Taman Perinddutrian Samalaju.

Sehingga kini, jelas Ketua Menteri, SCORE telah menjana pelaburan berjumlah RM39.94 bilion dan mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan.