SIBU: SUPP Cawangan Bawang Assan menghantar nama calonnya kepada pucuk pimpinan parti itu untuk bertanding di kerusi Dun Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Pengerusinya juga Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau berkata, SUPP mempunyai calon berpotensi dan berpengalaman yang bersedia untuk berkhidmat dalam apa-apa juga kemampuan kepada rakyat.

“Kami menghantar nama calon berkenaan kepada Presiden SUPP Datuk Sri Dr Sim Kui Hian untuk dipertimbangkan oleh parti dan juga GPS.

“Saya tidak boleh mendedahkan siapa calon itu. Kita serahkannya kepada pucuk pimpinan parti menentukannya kelak,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan kunjungan ke rumah panjang di kawasan Bawang Assan dan Tanjung Bekakap dekat sini, petang kelmarin.

Lau berkata, SUPP berkhidmat dengan rakyat di kawasan Bawang Assan secara konsisten serta teratur dan tidak hanya muncul ketika pilihan raya sudah dekat.

Pada kunjungannya itu, beliau turut mengetuai rombongannya untuk melawat beberapa projek yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di kawasan Bawang Assan.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh

Timbalan Pengerusi MDLBS Kaunselor Wong Ching Yong serta kaunselor MDLBS dan ahli parti komponen GPS. Menurutnya, antara projek yang sudah disiapkan ialah penurapan jalan di Jalan SK Bawang Assan yang menelan kos RM435,000.

“Projek lain yang sudah disiapkan ialah projek parkir kereta di Rumah Saing, Tanjung Bekakap, Sungai Lebaan,” tambahnya lagi.